Samad (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian penutupan Kejohanan Merentas Desa MSSS Peringkat Negeri Sabah 2026.
BELURAN: Kementerian Kerja Raya negeri dan persekutuan digesa agar segera menaik taraf jalan raya dari simpang Beluran ke Pekan Beluran demi keselesaan pengguna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Datuk Samad Jambri berkata beliau menerima banyak rungutan daripada masyarakat berkaitan keadaan jalan tersebut yang kini sangat tidak selesa dan berisiko kepada pengguna.
“Jalan ke Pekan Beluran merupakan antara laluan utama ketika ini, namun kita lihat keadaanya sangat tidak selesa untuk dilalui dan sering menjadi keluhan pengguna.
“Sudah sampai masanya sama ada Kementerian Kerja Raya ataupun melalui Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah serta Jabatan Kerja Raya Persekutuan khususnya mengambil maklum tentang keperluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Peringkat Negeri Sabah, pada Rabu.
Menurut Samad, sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, beliau turut terkesan dengan keadaan jalan yang tidak begitu selesa.
“Keadaan jalan ini sangat kritikal dan memerlukan sama ada pembaikan ataupun penaiktarafan jalan kerana telah mengalami kerosakan yang teruk.
“Jadi, saya melihat perlu diambil tindakan yang secepatnya kerana kita mengambil kira tentang keselesaan pengguna,” ujarnya.
Jalan raya sepanjang 27.22km itu merupakan jalan negeri yang menghubungkan Lebuhraya Pan Borneo ke Pekan Beluran dan kini mengalami kerosakan yang teruk serta menuntut gaya pemanduan yang sangat berhati-hati.
































