KUDAT: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) memperkenalkan pendekatan pengurusan strategik berasaskan Model PDCA (Plan, Do, Check, Act) serta penetapan Indikator Prestasi Utama (KPI) sebagai langkah memperkukuh kecekapan tadbir urus dan meningkatkan prestasi organisasi.
Inisiatif itu diumumkan Pengerusinya, Dr. Aslie Haji Sahat pada Mesyuarat Jawatankuasa (JKT) PMPS Bilangan 1/2026 yang berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, di sini.
Beliau berkata, organisasi yang dipacu oleh pengalaman seperti PMPS perlu bergerak selari dengan amalan pengurusan moden yang menekankan pencapaian berasaskan hasil, akauntabiliti serta impak yang boleh diukur.
“Setiap perancangan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang nyata. Organisasi tidak boleh bergantung kepada perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan tindakan dan pencapaian,” katanya.
Menurutnya, pendekatan PDCA dijadikan kerangka utama pengurusan PMPS bagi memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.
Pendekatan itu merangkumi empat komponen utama iaitu perancangan strategik yang jelas dan terukur (Plan), pelaksanaan berdisiplin dengan pembahagian tugas tersusun (Do), pemantauan berasaskan KPI (Check), serta tindakan susulan bagi penambahbaikan berterusan (Act).
Bagi memastikan pelaksanaan lebih tersusun dan berimpak, PMPS turut menetapkan KPI organisasi yang merangkumi aspek mesyuarat, pelaksanaan program serta akauntabiliti ahli.
Antara penanda aras ditetapkan ialah kehadiran mesyuarat melebihi 90 peratus, setiap keputusan direkodkan secara komprehensif serta tindakan susulan dipantau dengan jelas melalui pegawai bertanggungjawab dan garis masa pelaksanaan.
Selain itu, sekurang-kurangnya 80 peratus program yang dirancang perlu dilaksanakan mengikut jadual, disokong laporan kemajuan berkala serta penilaian impak terhadap ahli dan komuniti.
Dalam aspek akauntabiliti pula, setiap ahli diwajibkan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugasan yang diberikan, dengan status pelaksanaan dilaporkan dalam mesyuarat seterusnya tanpa sebarang kelewatan yang tidak munasabah.
Dr. Aslie menegaskan, pembudayaan kerja berprestasi tinggi perlu dijadikan norma bagi memastikan PMPS terus kekal relevan, berintegriti dan dihormati.
Beliau merumuskan hala tuju strategik organisasi itu melalui prinsip pengurusan yang jelas iaitu setiap perancangan mesti dilaksanakan, setiap pelaksanaan perlu dipantau dan setiap pemantauan mesti disusuli dengan penambahbaikan.
Katanya, disiplin dalam pelaksanaan serta pemantauan berterusan adalah asas penting dalam membentuk organisasi yang berdaya saing dan memberi impak tinggi.
































