Anna Bell Suzieanah Perian
KOTA KINABALU: Kenyataan seorang Ahli Senator Filipina yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dihidupkan semula disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif.
Ahli Dewan Negara, Datuk Anna Bell Suzieanah Perian menegaskan, kenyataan itu jelas tidak menghormati prinsip asas undang-undang antarabangsa serta hubungan diplomatik serantau.
Beliau berkata, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah muktamad dan berlandaskan asas perundangan yang kukuh.
“Pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sahaja melibatkan persetujuan kerajaan-kerajaan terlibat, malah disahkan melalui proses penentuan kehendak rakyat Sabah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan pada 1962 mendapati majoriti besar rakyat Sabah menyokong penyertaan dalam Malaysia.
“Prinsip self-determination yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dipenuhi sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang cubaan mempertikaikan status Sabah adalah bercanggah dengan asas undang-undang antarabangsa.
Mengulas lanjut, Anna Bell berkata, pelbagai prosiding dan keputusan mahkamah antarabangsa turut menunjukkan bahawa tuntutan yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu terhadap Sabah adalah tidak berasas.
Katanya, mahkamah antarabangsa dan tribunal timbang tara telah menolak asas legitimasi tuntutan tersebut termasuk isu berkaitan perjanjian lama yang tidak lagi mempunyai kekuatan perundangan dalam konteks kedaulatan moden.
“Ini menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai merit dari segi undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan antarabangsa terhadap Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan.
“Malaysia telah diterima sebagai sebuah negara berdaulat oleh komuniti antarabangsa sejak 1963 termasuk keanggotaannya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Menurutnya, kehadiran pejabat konsulat asing di Sabah serta hubungan perdagangan dan diplomatik yang aktif menjadi bukti dunia mengiktiraf Sabah sebagai wilayah sah Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah melanggar prinsip utama undang-undang antarabangsa seperti kedaulatan wilayah dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara.
Katanya, tindakan sedemikian juga berpotensi menjejaskan kestabilan serantau serta hubungan dua hala negara-negara ASEAN yang sepatutnya berlandaskan semangat saling menghormati.
Beliau turut menyifatkan naratif tuntutan tersebut sering dikaitkan dengan kepentingan ekonomi khususnya sumber petroleum dan gas di Sabah.
“Pendekatan sebegini amat dangkal dan tidak bertanggungjawab. Sabah bukan medan untuk menyelesaikan kekurangan hasil mana-mana negara asing,” katanya.
Anna Bell menegaskan bahawa kekayaan hasil bumi Sabah adalah hak mutlak rakyat negeri ini dan dilindungi oleh undang-undang Malaysia.
Beliau dalam masa sama menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu hati mempertahankan kedaulatan negeri.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal kedaulatan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah wajib dikecam dan ditolak sepenuhnya.
“Sabah adalah milik Malaysia dahulu, kini dan selamanya,” katanya.






























