Tun Musa (kiri) ketika menyampaikan perutusan.
KOTA KINABALU : Pembangunan infrastruktur dan pengukuhan ekonomi terus menjadi keutamaan dalam usaha memacu kemajuan Sabah secara menyeluruh.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini negeri Sabah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memperkukuh asas ekonomi negeri melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber.
“Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan demi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan.
“Pembangunan infrastruktur asas yang meliputi pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, sistem bekalan air bersih serta kemudahan bekalan elektrik yang stabil harus diberikan penekanan.
“Usaha ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar.
“Pembangunan prasarana yang terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh bertujuan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas semasa Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi beliau di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Tun Musa berkata, aspek pendidikan dan pembangunan modal insan juga diberikan penekanan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini.
“Pembangunan modal insan yang berkualiti merupakan asas utama dalam memastikan negeri Sabah mampu bersaing dan terus maju,” tambahnya.
Selain itu, beliau berkata aspek kesihatan juga diberikan keutamaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.
Beliau berkata, tujuannya adalah untuk memastikan setiap rakyat mendapat rawatan yang cepat, selamat dan berkesan.
Menurutnya, transformasi digital dalam perkhidmatan awam juga sedang diperkasa bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akses kepada rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan keperluan untuk memperkasa integriti dalam perkhidmatan awam hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membina sebuah pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat.
“Integriti bukan sekadar slogan, tetapi merupakan nilai teras yang mencerminkan kejujuran, ketelusan dan komitmen dalam melaksanakan amanah.
“Akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Setiap keputusan perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus yang baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang,” jelasnya.
Mengakhiri perutusan, beliau menyeru seluruh rakyat agar terus bersatu dan berganding bahu dalam memastikan Sabah kekal sebagai negeri yang makmur, stabil dan berdaya saing.
Dalam majlis berkenaan, seramai 90 individu menerima Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Menteri-menteri Kabinet Negeri dan Persekutuan.






























