Japlin (tiga dari kiri) menyerahkan mock cheque sumbangan RM1 juta daripada CIS kepada Awang Kadin sambil diperhatikan Ezrie (dua dari kanan) di pejabat SAFA, hari ini.
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi membantu meningkatkan lagi pencapaian pasukan itu dalam persaingan arena bola sepak di negara ini.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu majlis ringkas di pejabat SAFA di sini oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang.
Turut hadir Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag. Raini serta Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd. Shah.
Japlin berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam menyokong pembangunan bola sepak di Sabah, khususnya dalam memperkukuh program pembangunan bakat serta mempertingkat prestasi pasukan negeri.
“CIS percaya sukan bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Justeru, sokongan seperti ini wajar diteruskan demi masa depan sukan negeri,” katanya.
Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan dalam usaha memperkasa arena bola sepak Sabah.
Beliau berkata, sumbangan itu juga mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.






























