Menyantuni petugas keselamatan di Balai Polis Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Program Singgah Sahur yang diadakan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) serta beberapa lokasi sekitar bandaraya Kota Kinabalu berjaya menyantuni petugas kesihatan, pasukan keselamatan dan golongan gelandangan sempena bulan Ramadan.
Program tersebut dianjurkan oleh Youth Power Club Kota Kinabalu dengan kerjasama Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan serta usaha membantu golongan yang memerlukan.
Turut menyertai program berkenaan ialah Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Likas, Syamee Mohd. Ron, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Likas, Noor Azee Ashikeen Asngari serta Adem Firdaus Muhammad Bahrin.
Melalui program itu, pergerakan ketiga-tiga sayap bersama ahli Youth Power Club Kota Kinabalu telah mengagihkan juadah sahur kepada petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas di Hospital Queen Elizabeth 1, anggota pasukan keselamatan di Balai Polis Kota Kinabalu dan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Sembulan, selain turut menyantuni golongan gelandangan di sekitar bandaraya ini.
Inisiatif tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat khususnya dalam bulan Ramadan yang menekankan nilai ihsan, solidariti serta amalan kebajikan terhadap mereka yang memerlukan.
Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh nilai kemanusiaan di samping memberi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan dan golongan kurang bernasib baik.

































