Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan memperkasa penguatkuasaan antara agensi bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api di Sabah dan Sarawak yang masih menerima subsidi pukal diesel.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu yang mengarahkan pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bertindak sebagai urus setia.
Armizan berkata, penguatkuasaan diperkasa mengambil kira Sabah dan Sarawak masih menikmati subsidi pukal diesel yang mewujudkan jurang harga ketara berbanding harga pasaran semasa.
“Di Sabah dan Sarawak, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter berbanding RM3.92 seliter di Semenanjung Malaysia, manakala harga pasaran mengikut Automatic Pricing Mechanism semasa mencecah RM4.30 seliter.
“Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang daripada separuh kos sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jurang harga yang besar itu berpotensi meningkatkan risiko ketirisan serta penyeludupan bahan api sekiranya tidak ditangani melalui penguatkuasaan yang lebih ketat.
Menurutnya, risiko tersebut turut meningkat susulan konflik Asia Barat yang menyebabkan lonjakan harga minyak global, sekali gus memberi tekanan kepada sistem subsidi bahan api negara.
“Peningkatan harga minyak dunia menyebabkan harga minyak Brent melonjak antara AS$90 hingga melebihi AS$100 setong minggu lalu berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik bermula,” katanya.
Armizan berkata, implikasi kewangan kepada kerajaan juga semakin besar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.
Beliau berkata, pada tahun 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak mencecah RM2 bilion, iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.
“Berdasarkan kadar penggunaan yang sama serta harga pasaran semasa, tanggungan subsidi kerajaan di kedua-dua negeri ini dijangka meningkat kepada RM4.6 bilion bagi tahun 2026,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan dipergiat di kawasan sempadan serta lokasi panas di seluruh negara, dengan fokus utama diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, operasi berkenaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Beliau menambah bahawa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, pesalah boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun serta didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
































