Juliah berbincang dengan sebahagian ahli MUTIARA yang hadir selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS ke- 5.
KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan organisasi yang mempunyai aspirasi sama bagi memperluaskan pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, kata Yang Dipertuanya, Datin Seri Hajah Juliah Salag.
Selain itu, beliau turut menyeru semua ahli untuk menggandakan usaha ke arah itu serta meluangkan masa dan komitmen terhadap program-program persatuan.
Beliau menegaskan kepentingan penyertaan aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan.
“Bagi memperkasakan lagi program kebajikan dan kemasyarakatan pada tahun ini, saya menyeru semua ahli supaya lebih proaktif serta terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti, khususnya di kawasan masing-masing.
“Saya berharap setiap ahli terus bekerjasama dan bergerak seiring bagi memastikan kejayaan serta mencapai matlamat murni penubuhan MUTIARA GRS,” kata Juliah yang juga isteri kepada Ketua Menteri ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS Ke-5 di Rumah MUTIARA GRS di sini, hari ini.
Juliah turut menggalakkan ahli untuk menyumbang idea yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita, program kebajikan, pembangunan kemahiran keusahawanan serta bidang berkaitan yang lain.
“Saya mahu ahli-ahli meneroka dan mencadangkan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta kesejahteraan diri secara menyeluruh. Kita boleh merancang program pembangunan diri seperti latihan etika sosial, bengkel kesihatan, aktiviti sukan dan rekreasi, literasi digital serta lawatan pendidikan.
“Selain mengeratkan hubungan sesama ahli, inisiatif ini juga memberi peluang bermakna kepada kita untuk terus belajar, membina jaringan dan maju bersama,” katanya.
Juliah berharap semua inisiatif yang dirancang sepanjang tahun ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mengikut jadual demi manfaat rakyat.
“Kejayaan memerlukan perpaduan serta sokongan semua pihak. Tanpa kesepakatan dan usaha gigih daripada semua, mustahil bagi persatuan ini berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mampu membawa perubahan bermakna serta kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.
































