Japlin menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim dan asnaf.
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) terus meneguhkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2025 berjumlah RM500,000 kepada Pusat Zakat Sabah dalam satu majlis yang berlangsung di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kinabalu, di sini hari ini.
Zakat tersebut disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari yang mewakili Pusat Zakat Sabah.
Menurut Japlin, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, CIS bukan sahaja memainkan peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Sabah, tetapi juga komited menyalurkan sebahagian keuntungan kepada golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat.
“Sebagai syarikat milik kerajaan negeri, kita bukan sahaja memikul tanggungjawab menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah, tetapi juga berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui agihan zakat.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd. Yusof; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad; serta ahli pengurusan CIS.
Selain penyerahan zakat, CIS turut menganjurkan Majlis Iftar bersama 60 anak yatim dan asnaf daripada beberapa institusi kebajikan, termasuk Rumah Anak Yatim & Asnaf As Sakinah, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah, dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah. Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM2,000.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong usaha kebajikan serta membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan di Sabah.
Majlis itu juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam semangat kebersamaan, terutamanya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
































