Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Kecuaian pemandu dikenal pasti sebagai punca insiden perlanggaran antara Railbus RB8801 dengan sebuah motor troli di KM134/4 Pangi, Tenom pada 3 Mac lalu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, hasil siasatan dalaman oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) melalui Board of Enquiry (BOE) mendapati pemandu gagal menjalankan pemeriksaan jentera mengikut prosedur sebelum memulakan perjalanan.
Beliau berkata, pemandu berkenaan juga tidak menutup isolating valve pada Tenom End Driving Cab serta tidak menjalankan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.
“Keadaan ini menyebabkan sistem brek Railbus RB8801 tidak berfungsi sepenuhnya dan seterusnya mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli di landasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ewon berkata, selepas Railbus berhenti di KM133/8, pemandu telah memeriksa serta membetulkan kedudukan isolating valve sebelum ujian pandu dijalankan semula.
Menurutnya, ujian tersebut mendapati sistem brek kembali berfungsi dengan baik dan Railbus berjaya kembali ke Stesen Tenom tanpa perlu diselamatkan atau ditarik oleh jentera lain.
“Pemeriksaan lanjut oleh Penolong Jurutera selepas Railbus kembali ke stesen juga mengesahkan bahawa sistem brek beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan keretapi kembali beroperasi seperti biasa pada 4 Mac menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini Railbus RB8801 terus beroperasi tanpa sebarang masalah.
Ewon berkata, siasatan BOE dijalankan secara menyeluruh meliputi laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) pada jentera serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, katanya, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 kerana cuai dalam menjalankan tugas.
Beliau berkata, JKNS juga akan melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh prosedur operasi serta meningkatkan pematuhan terhadap aspek keselamatan.
“Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dan JKNS mengesahkan bahawa perkhidmatan keretapi yang beroperasi adalah selamat untuk digunakan oleh orang awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa kawasan rezab keretapi adalah kawasan larangan berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017.
Katanya, sebarang aktiviti di kawasan landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS.
“Penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di atas landasan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi keretapi,” katanya.
Beliau berkata, insiden perlanggaran itu juga telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada hari ini.


































