PAPAR: Pembinaan sebuah pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sinj dijangka mampu menyelesaikan masalah voltan rendah yang sekian lama dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek pembinaan pencawang tersebut telah siap pada 26 Februari lalu dan kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal kepada pencawang baharu.
Menurutnya, pencawang berkenaan dijangka akan beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal April tahun ini.
“Sebelum ini penduduk sering mengadu berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V yang telah lama dialami oleh kediaman serta premis perniagaan di sekitar Kampung Takis.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan turut menyebabkan kerosakan peralatan elektrik serta meningkatkan risiko berlakunya litar pintas yang boleh mengganggu aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk,” katanya selepas meninjau projek pembinaan pencawang elektrik baharu di kampung berkenaan sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin, Kampung Takis, di sini, hari ini.
Armizan berkata, dengan beroperasinya pencawang baharu itu kelak, isu bekalan elektrik tidak stabil di kawasan berkenaan dijangka dapat diatasi.
“Ini sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil serta mampu menampung peningkatan penggunaan elektrik di kawasan sekitar.
“Saya berharap penduduk di Kampung Takis dan kawasan berhampiran dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil dan selesa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) turut melaksanakan beberapa projek pembinaan pencawang elektrik baharu di beberapa kampung dalam Parlimen Papar yang turut mengalami gangguan bekalan elektrik.
Menurutnya, pada tahun lalu beberapa projek pencawang elektrik baharu telah siap dan mula beroperasi di kawasan Papar termasuk di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang.
Sehubungan itu, Armizan menyarankan penduduk yang berdepan isu sama supaya menyalurkan aduan rasmi kepada pihak SE atau Pejabat Parlimen Papar bagi membolehkan semakan serta tindakan lanjut dilaksanakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik terus diberi perhatian.
“Usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur asas seperti ini penting bagi memastikan kesejahteraan serta keselesaan rakyat terus terpelihara,” katanya.
































