Lelaki cedera selepas kenderaan terjunam 20 meter ke gaung di Tawau. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang lelaki berusia 54 tahun cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter dalam kejadian di Simpang 4, Jalan Bukit TV, di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kemalangan jalan raya itu pada jam 8.07 malam melalui talian balai.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8.25 malam dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara yang terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 54 tahun terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi menyelamat diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Zougrana Konin bersama kekuatan anggota serta dua jentera iaitu satu Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Jurucakap itu berkata, mangsa berjaya dibawa naik ke bahu jalan oleh pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 malam.
































