Tun Musa Haji Aman
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun (Dr.) Musa Haji Aman menyeru rakyat negeri ini agar terus memperkukuh perpaduan dan memelihara keharmonian.
Menurut beliau, kejayaan yang dikecapi sejak kemerdekaan adalah hasil komitmen, ketabahan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
“Walaupun kita berbeza, terdapat lebih banyak persamaan yang menyatukan kita. Nilai-nilai bersama inilah yang mengukuhkan ikatan kita, memelihara keharmonian dan menjadi asas kepada kemajuan bersama,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2026 hari ini.
Sempena Tahun Kuda, beliau mengajak rakyat mengambil inspirasi daripada sifat kekuatan, daya tahan, ketekunan dan semangat tidak mudah mengalah yang dilambangkan haiwan tersebut.
“Kuda mencerminkan tenaga, keazaman dan keberanian untuk melangkah maju dengan penuh keyakinan. Contohilah nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian dengan bekerja tekun, tabah menghadapi cabaran dan terus berusaha mencapai kecemerlangan,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menghadiri rumah-rumah terbuka sempena perayaan itu, sambil menegaskan bahawa amalan kunjung-mengunjung mencerminkan semangat saling menghormati dan memahami dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, setiap rakyat bebas mengamalkan tradisi dan kepercayaan masing-masing, dan semua pihak perlu terus memupuk muhibah serta menyelesaikan perbezaan dengan kebijaksanaan.
Beliau mendoakan agar Sabah dan rakyatnya terus maju dan makmur demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Bersama-samalah kita berdiri teguh dalam solidariti dan melangkah ke hadapan sebagai satu bangsa demi kemajuan Sabah. Gong Xi Fa Cai dan Selamat Tahun Baharu Cina,” katanya.


































