James melakukan upacara pecah tanah untuk projek bangunan baharu Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Marudu hari ini.
KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh akses pendidikan dan budaya literasi menerusi pembinaan bangunan baharu Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Marudu yang dilancarkan hari ini.
Majlis pecah tanah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib di tapak pembinaan perpustakaan berkenaan di sini.
James berkata, majlis itu bukan sekadar simbolik kepada pembinaan sebuah bangunan baharu, malah mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat di setiap daerah menikmati kemudahan pembelajaran yang kondusif, inklusif dan selari dengan perkembangan era digital.
“Perpustakaan hari ini bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku, sebaliknya berfungsi sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, hab komuniti, pusat rujukan maklumat digital serta ruang inovasi yang menyokong pembangunan modal insan,” katanya.
Pembinaan perpustakaan baharu ini dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat Kota Marudu khususnya para pelajar, belia, usahawan kecil dan komuniti setempat melalui penyediaan kemudahan yang lebih selesa serta persekitaran yang menyokong aktiviti literasi dan pembelajaran.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama kemajuan negeri.
Kemudahan seperti ini, jelasnya, amat penting dalam merapatkan jurang akses maklumat antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih serta seluruh warga kerja perpustakaan atas komitmen berterusan dalam memperkasa perkhidmatan perpustakaan di seluruh negeri.
Setakat ini, Perpustakaan Negeri Sabah mempunyai 25 cawangan perpustakaan dan 73 perpustakaan desa di seluruh Sabah.
James turut menyeru agar budaya membaca dan literasi digital terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat memandangkan keupayaan menilai dan menggunakan maklumat secara bijaksana amat penting dalam dunia tanpa sempadan masa kini.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa projek pembinaan ini akan dilaksanakan dengan lancar melalui perancangan teliti dan kerjasama semua pihak, sekali gus memastikan bangunan yang dibina bukan sahaja megah dari segi fizikal tetapi berfungsi secara optimum untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Majlis tersebut diakhiri dengan simbolik pelancaran rasmi pembinaan Bangunan Baharu Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Marudu.


































