Jamawi (tengah, duduk) bergambar bersama dengan semua yang hadir dalam majlis APC 2025, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Haji Jamawi Jaafar menyeru seluruh warga kementerian untuk berganding bahu dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam menyokong pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur, sebagai usaha memperkukuh keselamatan makanan dan membudayakan amalan berdikari dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, sokongan daripada semua pegawai dan kakitangan kementerian adalah penting merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta promosi inisiatif ini kepada masyarakat.
“Warga kementerian perlu menjadi barisan hadapan dan duta kepada inisiatif ini, menunjukkan teladan melalui penyertaan, sokongan teknikal serta promosi yang berkesan di peringkat komuniti,” katanya.
Inisiatif Kebun Dapur bukan sekadar projek pertanian kecil, tetapi gerakan strategik untuk memperkasa isi rumah, mengurangkan kos sara hidup, serta meningkatkan kesedaran terhadap pertanian asas, jelas beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Jamawi (empat dari kanan) bersama tetamu kehormat bergambar kenangan dengan penerima Anugerah Pekhidmatan Cemerlang, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi tahun 2025.
Jamawi turut menekankan bahawa kejayaan kementerian dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan bergantung kepada kecekapan, integriti dan dedikasi penjawat awam.
Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan bukan hanya tentang pencapaian KPI, tetapi juga merangkumi sikap profesional, kecekapan sistem penyampaian, integriti, akauntabiliti, serta keupayaan menyelesaikan masalah rakyat secara berkesan.
“Kita mesti terus membudayakan prestasi tinggi, beralih daripada kerja rutin kepada kerja yang memberi impak sebenar kepada kementerian dan masyarakat,” tegasnya.
Jamawi turut menekankan toleransi sifar terhadap ketirisan, kecuaian dan penyalahgunaan kuasa, mengingatkan penerima APC 2025 untuk menjadi role model serta inspirasi kepada generasi pelapis penjawat awam.

Jamawi (tengah) menerima cendera mata daripada Leonard sambil disaksikan oleh Maria (kanan).
Beliau berkata, kementerian akan terus memperkukuh pembangunan modal insan, latihan kompetensi, pemantapan kepimpinan dan pembudayaan inovasi dalam perkhidmatan.
“Saya berharap semua warga kementerian akan terus memperkasa kemahiran diri, menyokong agenda transformasi perkhidmatan, mengamalkan budaya kerja berpasukan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Majlis APC ini juga menjadi platform untuk meraikan pegawai dan kakitangan yang menunjukkan prestasi kerja luar biasa, integriti tinggi dan semangat perkhidmatan yang unggul.
Jamawi merakamkan tahniah kepada semua penerima APC 2025, menekankan bahawa kejayaan mereka menjadi bukti budaya kerja cemerlang dan berprestasi tinggi semakin subur dalam kementerian.
Beliau mengingatkan bahawa kejayaan hari ini harus menjadi pencetus semangat untuk melangkah lebih jauh, bukan noktah pencapaian.
“Kita bekerja bukan untuk anugerah semata-mata, tetapi untuk amanah dan rakyat,” tegasnya.
Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Timbalan Setiausaha Tetap (Perikanan dan Terbakan) Kementerian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Anugerah Cemerlang MAFFI tahun 2025, Maria David Edick serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah MAFFI.






























