TENGHILAN: Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Program Derma Darah yang akan diadakan Khamis depan (5 Feb) di Dewan SRA Tenghilan, bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.
Program itu merupakan anjuran bersama Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) dan Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N14 Tamparuli sebagai sebahagian usaha membantu menstabilkan bekalan darah di hospital yang memerlukan.
Jurucakap program dari PPKS, Daulik Gutak berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat tampil menderma darah di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti setempat.
“Sebagai tanda penghargaan kepada para penderma, pihak penganjur turut menyediakan saguhati berupa beras kepada mereka yang berjaya menderma darah,” katanya.
Beliau menjelaskan, seramai 30 penderma terawal yang berjaya menderma darah akan menerima lima kilogram beras, manakala penderma terbanyak pula berpeluang membawa pulang 10 kilogram beras.
Menurut Daulik, aktiviti seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima darah, malah berpotensi menyelamatkan nyawa memandangkan satu beg darah boleh membantu sehingga tiga nyawa.
Selari dengan usaha berterusan untuk memperkukuh bekalan darah hospital di negeri ini, beliau yakin program berkenaan akan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat serta kawasan sekitar Tamparuli dan Tenghilan.
Sehubungan itu, pihak penganjur menyarankan orang ramai agar hadir lebih awal bagi melancarkan proses pendaftaran selain meningkatkan peluang menerima saguhati yang disediakan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Daulik di talian 011-5116 5806, Rizkam Wenddy Yabin (011-1881 8313), Joanes Robert Johnny @ Ateng (012-918 2206) atau Cikgu Lenliy (016-819 0895).






























