Masidi (enam dari kiri) menerima cenderamata daripada Rosmadi.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun hari ini menerima kunjungan hormat Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) di pejabatnya, di sini.
Kunjungan itu diketuai Ketua Pegawai Penyelaras SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai bersama Ketua Pegawai Operasi, Datuk Ramlee Kariah. Ia bagi membincangkan penyelarasan pelaksanaan inisiatif di bawah agenda Hala Tuju SMJ 2.0 (2026-2030), khususnya berkaitan perancangan strategik dan hala tuju pembangunan negeri.
Dalam pertemuan berkenaan, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan pelaksanaan program SMJ 2.0 yang dijadualkan berlangsung esok di Pusat Konvensyem Antarabangsa Sabah (SICC), selain usaha mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau menasihatkan Sekretariat SMJ agar terus mengamalkan tadbir urus yang baik, memperkukuh penyelarasan antara agensi pelaksana serta memastikan setiap inisiatif dirangka berlandaskan keperluan rakyat dan memberi impak yang jelas serta berterusan.
Masidi turut menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan lebih proaktif dan berintegriti selaras aspirasi Sabah Maju Jaya, dengan memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, kecekapan pengurusan serta pulangan yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menekankan kepentingan pemantauan rapi dan penilaian berterusan bagi memastikan semua program dilaksanakan mengikut perancangan serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Masidi bersama Saadiah (empat dari kiri), Mohd. Yaakob (tiga dari kanan) serta pegawai Kementerian Kewangan dan kakitangan SESB.
Pada hari sama, Masidi turut menerima kunjungan hormat Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) yang dihadiri Pengerusinya, Saadiah Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar.
Kunjungan berkenaan bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama serta membincangkan perkara berkaitan bekalan elektrik di Sabah, termasuk usaha berterusan meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan sistem penyampaian tenaga.
Dalam pertemuan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa operasi Sabah Electricity serta inisiatif penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan kepada rakyat Sabah.




























