James Ratib
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa kini bukan lagi sekadar entiti sokongan, sebaliknya berperanan sebagai jentera strategik pembangunan negeri yang memberi kesan langsung kepada kelajuan kemajuan Sabah.
“Jika GLC bergerak perlahan, Sabah juga akan bergerak perlahan. Jika GLC gagal berubah, masa depan Sabah akan tertangguh dan tertinggal,” katanya ketika ketika menyampaikan ucaptama khas pada Konvensyen Transformasi GLC Sabah di sini hari ini.
James berkata, transformasi sebenar bukan bersifat kosmetik, sebaliknya melibatkan perubahan cara berfikir, membuat keputusan dan memikul amanah rakyat.
“GLC Sabah mesti beralih daripada selesa kepada berdaya saing, daripada reaktif kepada strategik, dan daripada bergantung kepada menjana nilai sendiri. Ini bukan pilihan, ini adalah keperluan,” katanya.
Menurut beliau, tema konvensyen “Strategik, Holistik, Lestari” menuntut perubahan yang berpandangan jauh, menyeluruh dan berterusan, sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang bukan sekadar slogan tetapi komitmen kolektif semua pihak.
James berkata, konvensyen berkenaan bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya manifestasi kesungguhan GLC Sabah untuk keluar daripada kaedah lama yang tidak lagi relevan dengan tuntutan pembangunan semasa.
“Hari ini bukan sekadar satu konvensyen. Hari ini adalah titik penentu. Kita berkumpul bukan hanya untuk bercakap tentang perubahan, tetapi untuk menentukan keberanian kita melaksanakan perubahan,” katanya.
Dalam konteks itu, beliau berkata, GLC Sabah perlu berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi berkualiti, platform pembangunan bakat tempatan, model tadbir urus berintegriti serta peneraju inovasi dan teknologi.
“Kerajaan Negeri menyediakan dasar dan hala tuju, tetapi pelaksanaan sebenar berlaku di GLC. GLC tidak boleh sekadar menunggu arahan, sebaliknya mesti mendahului perubahan,” katanya.
Menggariskan tiga agenda besar transformasi GLC Sabah, James menekankan bahawa modal insan perlu menjadi teras utama dalam usaha pembaharuan organisasi.
“Tiada GLC yang hebat tanpa manusia yang hebat. Pelaburan terbesar bukan hanya pada bangunan atau teknologi, tetapi pada bakat, kepimpinan dan budaya kerja,” katanya.
Beliau menegaskan budaya mengutamakan jawatan berbanding prestasi perlu dihentikan, selain menekankan kepimpinan yang berani, pelan pembangunan bakat yang jelas serta laluan kerjaya yang telus dan meritokratik.
James berkata, pembangunan modal insan perlu bermula dari akar umbi pendidikan termasuk pemerkasaan sekolah luar bandar, akses digital yang saksama serta pendedahan awal kepada kemahiran masa depan.
Agenda kedua transformasi, katanya, melibatkan pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan (AI) yang perlu diterjemahkan daripada wacana kepada pelaksanaan sebenar.
“Pendigitalan dan AI bukan lagi trend, ia adalah realiti ekonomi masa depan. GLC Sabah mesti menjadi organisasi pintar dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan serta membuat keputusan berasaskan data,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa teknologi tanpa disiplin tadbir urus boleh menjadi risiko, justeru AI dan automasi perlu dipandu oleh dasar, etika dan nilai.
James turut menekankan peranan penting GLC Sabah dalam menyokong latihan TVET dan STEM, membuka laluan industri kepada belia serta membina ekosistem pendidikan dan pekerjaan yang inklusif.
Agenda ketiga transformasi, katanya, ialah tadbir urus, integriti dan akauntabiliti tanpa kompromi kerana GLC mengurus dana awam yang perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
“Setiap sen mesti dipertanggungjawabkan, setiap keputusan mesti telus dan setiap kegagalan mesti diperbaiki, bukan disorokkan,” katanya.
Beliau menegaskan kepercayaan rakyat dan pelabur merupakan aset paling bernilai kepada GLC Sabah dan amat sukar diganti jika hilang.
Dalam gesaan tegas kepada peneraju GLC, James menyeru agar mereka berani berubah walaupun tidak selesa, berfikir jangka panjang, melabur pada bakat tempatan serta bertanggungjawab terhadap setiap keputusan.
“GLC Sabah mesti berhenti bertanya ‘bolehkah kita buat?’ dan mula bertanya ‘bagaimana kita mesti buat?” katanya.
Beliau berharap hasil konvensyen itu dapat diterjemahkan kepada tindakan, dasar dan pelaksanaan yang benar-benar memberi impak kepada rakyat, sekali gus membentuk GLC Sabah yang berdaya saing, berintegriti, berteknologi dan berjiwa rakyat.






























