Kadzim (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Syed Ahsan.
KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri, Teluk Likas, di sini, Jumaat lalu.
Dalam pertemuan itu, Kadzim merakamkan penghargaan atas kesediaan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan untuk mengadakan kunjungan hormat ke DUN Sabah, selain menzahirkan komitmen institusi legislatif negeri itu dalam menyokong usaha memperkukuh hubungan persahabatan antarabangsa.
Beliau turut menegaskan peranan DUN Sabah sebagai institusi demokrasi yang penting dalam pembangunan negeri, di samping membuka ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat bersama, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah.
Kunjungan hormat tersebut turut dihadiri Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong We Kong dan Datuk Al Hambra Tun Juhar.






























