Haji Hajiji Haji Noor
TAMPARULI: Kerajaan Negeri komited untuk memastikan tiada anak Sabah, khususnya daripada kumpulan B40, tercicir dalam mendapatkan akses kepada peluang pendidikan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 sebelum ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk bantuan persekolahan dan biasiswa bagi menyokong proses pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan.
“Inisiatif bantuan pendidikan ini akan diteruskan di bawah pelan pembangunan SMJ 2.0,” katanya pada majlis penyampaian cermin mata kepada murid sekolah oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di SK Tamparuli di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston membantu seorang murid memakai cermin mata preskripsi sambil diperhatikan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (dua dari kiri) dan Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz (kiri).
“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya kumpulan B40.
“Sumbangan kepada masyarakat bukan sekadar satu pilihan, tetapi merupakan satu tanggungjawab selaras dengan mandat penubuhan GLC itu sendiri.
“Saya mahu setiap GLC terus melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang berimpak tinggi, berfokus dan mampan, khususnya dalam memperkasa pendidikan, kebajikan serta pembangunan modal insan rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, Hajiji berkata, setiap inisiatif yang dilaksanakan akan dipantau secara telus dan sistematik, dengan laporan berkala dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan keberkesanan dan akauntabiliti program.
“Pendekatan holistik yang mengimbangi prestasi operasi, kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah SMJ 2.0,” katanya.
Ketua Menteri turut menasihati para penerima sumbangan CSR agar menjadikan bantuan tersebut sebagai motivasi untuk terus berusaha dan kekal fokus dalam pelajaran mereka.
































