Benjamin (berdiri di belakang, enam dari kiri) bersama para peserta.
PENAMPANG: Final DCMM MLBB Championship yang berlangsung di ITCC Shopping Mall di sini kelmarin menjadi platform penting mencungkil bakat belia dalam arena e-sukan, khususnya permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), melibatkan penyertaan lebih 100 belia dari seluruh kawasan Moyog.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, Datuk Caesar Mandela Malakun berkata, kejohanan tersebut merupakan kemuncak kepada perjalanan panjang penganjuran pertandingan yang bermula sejak Ogos hingga Oktober 2025.
“Sejak Ogos hingga Oktober 2025, penganjuran DCMM MLBB Championship telah menjelajah 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Moyog menerusi empat siri pertandingan dan melibatkan lebih 100 orang belia,” katanya Majlis Penyampaian Hadiah Final DCMM MLBB Championship itu kelmarin. Ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Benjamin Malakun yang juga Pengurus Besar ITCC.
Mandela berkata, program berkenaan dihentikan sementara bagi menghormati proses demokrasi Pilihan Raya Sabah pada 29 November 2025 sebelum diteruskan semula selepas pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda Gagasan Rakyat Moyog yang diketuai oleh Ketua Pemuda, Lee Ka Lik serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen dan usaha menjayakan kejohanan berkenaan.
“Syabas dan tahniah kepada pasukan Pemuda Gagasan Rakyat Moyog. Saya berharap Pemuda akan terus aktif menganjurkan lebih banyak program untuk belia di Moyog dan Penampang,” katanya.
Beliau berkata, ITCC Shopping Mall akan terus menyokong aktiviti Pemuda Gagasan Rakyat dan berharap DCMM MLBB Championship dapat dijadikan acara tahunan untuk golongan muda di Moyog dan Penampang.
Kejohanan itu turut mencatat penyertaan pasukan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, sekali gus membuktikan bahawa arena e-sukan bersifat inklusif tanpa batasan fizikal.
“Dalam e-sukan, semua berdiri sama tinggi. Yang dinilai ialah bakat, strategi dan kerja berpasukan,” katanya.
Beliau berkata, e-sukan kini berkembang pesat sebagai kerjaya profesional yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa termasuk SEA Games, Asian Games, kejohanan dunia serta acara global seperti E-Sports World Cup.
Menurutnya, industri e-sukan membuka pelbagai laluan kerjaya termasuk sebagai atlet profesional, jurulatih, penganalisis, pencipta kandungan digital, penganjur acara serta dalam bidang teknologi kreatif.
Mandela berkata, ITCC Shopping Mall berhasrat menjadi pusat gaya hidup untuk semua lapisan masyarakat dan menyediakan ruang kepada program belia termasuk penganjuran Final DCMM MLBB Championship.
































