Masiung Banah
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah dilantik sebagai Pengerusi baharu Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dengan status menteri.
Beliau menggantikan ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang yang kini memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Masiung turut meneruskan peranannya sebagai Pengerusi Borneo Cement (S) Sdn. Bhd., jawatan yang disandangnya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Dalam hantaran terbaharu di media sosialnya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas kepercayaan dan pelantikan tersebut.
“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas kepercayaan melantik saya sebagai Pengerusi baharu SEDCO bertaraf menteri. Saya berjanji akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab bagi memajukan syarikat dan menyumbang kepada agenda pembangunan Sabah,” katanya.
Pada PRN yang lalu, Masiung, 53, menang dengan majoriti 457 undi, sekali gus mempertahankan kerusi Kuamut untuk penggal kelima berturut-turut.




























