Shahelmey (tengah) menunjukkan bakat beliau menggunting rambut salah seorang peserta.
PUTATAN: Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau swasta amat digalakkan menyumbang kepada masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti terutamanya menjelang musim pembukaan sekolah minggu hadapan.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, selaras dengan objektif pihak Kerajaan mengajak khidmat masyarakat dan sukarelawan bersama menunaikan tanggungjawab sosial
pembabitan pihak tersebut dikira meningkatkan kesedaran untuk membantu mereka yang memerlukan.
Ini termasuklah meringankan beban golongan ibu bapa yang sedikit sebanyak terkesan dengan penyediaan pembukaan musim persekolahan.
“Ya, pihak NGO atau swasta dialu-alukan mengadakan aktiviti kemasyarakatan lebih-lebih lagi pada masa sekarang, musim sekolah yang baharu akan dimulakan pada Isnin hadapan.
“Aktiviti berkonsepkan tanggungjawab sosial ini amat murni dan menyokong kepada dasar Kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat jelata, “katanya selepas menghadiri program Back To School Gunting Rambut Percuma di perkarangan Servay Putatan, di sini, hari ini.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Parlimen P.173 Putatan dengan NGO Dinamik Teras Bakti serta Pertubuhan Lima Generasi.
Mengulas kepada program bergunting terbabit, Shahelmey pada masa sama memuji kerjasama semua pihak yang terus menyokong usaha Pejabat Parlimennya untuk membantu komuniti setempat.
“Saya dimaklumkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada masyarakat sekitar Putatan menyertai program ini dan kita ucapkan syabas serta tahniah kerana terlibat sama.
“Program seperti ini Insyallah akan diteruskan dari semasa ke semasa, dan sebagaimana yang saya maklumkan tadi, penyertaan lebih ramai pihak seperti NGO atau swasta amat digalakkan untuk menabur bakti kepada masyarakat khususnya rakyat di Parlimen Putatan,” katanya.
Hadir sama dalam program tersebut adalah Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Mohd. Sufian Matin; Pegawai Khas Pentadbiran dan Operasi Parlimen Putatan, Mahadzir Abd. Majid; serta Pengerusi NGO Dinamik Teras Bakti dan PLG Sabah, Mohammad Azmi Mohammad Sanni.




























