Sesi penganugerahan sijil kepada peserta Program Native Sabahan Beadswork yang disempurnakan oleh Dr. Soon Singh (duduk tengah). Turut kelihatan Dr Connie (duduk lima dari kanan).
KOTA KINABALU: Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB) bersama National University of Singapore (NUS) menjayakan Program Native Sabahan Beadswork sebagai inisiatif silang budaya di UMS, di sini, baru-baru ini.
Ketua UPPLB merangkap Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata program tersebut bertujuan memperkenalkan dan memartabatkan seni kraf manik tradisional masyarakat pribumi Sabah kepada peserta antarabangsa.
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai nilai budaya dan identiti warisan tempatan, malah berperanan sebagai medium pertukaran budaya serta pengetahuan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Di samping itu, ia juga bagi meningkatkan kefahaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Jumaat.
Menurut Dr Connie, program berkenaan melibatkan 16 pelajar daripada Fakulti Sains NUS sekali gus mengukuhkan jaringan akademik dan hubungan dua hala antara UMS dan universiti berkenaan.
“FPPS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
“Usaha sebegini diharapkan dapat diteruskan bagi menyokong pemeliharaan dan pelestarian warisan budaya tempatan,” katanya.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh. Dr Soon turut menyampaikan sijil kepada para peserta.
Turut hadir pensyarah NUS, Dr. Shao Ting Hoong; Setiausaha Program, Mohamad Akmal Ariq Dzainuddin; serta tenaga pengajar pakar seni manik tradisional Sabah, Agnes Angkung dan Doris Sabala.


























