PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes khianat melibatkan kabel Telekom Malaysia (TM) di daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy bin Newton berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan khas Pasukan Petugas Khas Kes Curi Kabel yang ditubuhkan oleh Balai Polis Penampang.
Menurutnya, sepasukan polis berjaya mengesan sekumpulan lelaki sedang memotong kabel telekom di Jalan Taman Bulan sebelum suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.
“Susulan itu, satu aksi kejar-mengejar telah berlaku dari kawasan Penampang sehingga ke Kota Kinabalu dengan bantuan anggota kenderaan peronda polis (MPV) IPD Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil operasi tersebut, sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek berjaya ditahan manakala beberapa rakan suspek lain berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan.
Katanya lagi, pihak polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kes antaranya segulung kabel telekom, alat pemotong besi serta sebuah kenderaan untuk tujuan siasatan lanjut.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Tambah Sammy, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau mana-mana kes jenayah lain supaya menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.


























