Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan itu.
PENAMPANG: Dua orang maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah kereta di Jalan Kota Kinabalu–Papar, Lampu Isyarat Sabindo, di sini, kira-kira jam 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.00 pagi, 4 Januari 2026.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan 4WD yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berumur 27 tahun dan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama empat orang penumpang dalam lingkungan umur 17 hingga 21 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan memasuki persimpangan lampu isyarat lalu bertembung dengan kenderaan 4WD yang sedang bergerak lurus.
Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang kereta berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang berumur 17 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
“Pemandu kereta dan beberapa penumpang lain mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di hospital, manakala pemandu kenderaan 4WD tidak mengalami kecederaan serius dan penumpangnya turut menerima rawatan,” katanya.
Sammy berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya demi keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Saparia Ladon di talian 019-8095133.


























