Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menekankan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan Ekonomi Biru, integriti pentadbiran, pengurusan tanah dan peningkatan infrastruktur pedalaman.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah memulakan penerokaan OTEC di Pantai Timur Sabah dengan tiga syarikat pemaju tempatan.
“Projek ini dijangka siap pada tahun 2027 dan pembangunannya dibiayai sepenuhnya oleh pihak pemaju sendiri. Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang dana kerana menggalakkan inisiatif Ekonomi Biru yang dipacu oleh sektor swasta,” katanya ketika menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau memberi respons kepada pertanyaan, pandangan dan cadangan beberapa yang dibangkitkan berkaitan Dasar Ekonomi Biru, termasuk teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC).
Ketua Menteri menegaskan bahawa Sabah mempunyai asas perundangan dan institusi kukuh untuk memperkasa Ekonomi Biru, termasuk kelulusan Enakmen OTEC 2024 dan pindaan kepada Enakmen Energy Commission of Sabah (ECoS) pada April 2024.
Hajiji menyenaraikan 15 industri Ekonomi Biru yang dikenal pasti, termasuk penuaian sumber hidup, bioteknologi marin, makanan laut, perdagangan dan perniagaan laut, pengangkutan, pelancongan dan rekreasi, logistik, tenaga, perlindungan pesisir pantai, pengasingan karbon, pemantauan laut, pengekstrakan sumber tidak hidup serta penjanaan sumber baharu.
Kerajaan Negeri telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat swasta untuk membina Landing Port Tuna di Kota Kinabalu bernilai RM360 juta. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan tetapi memperoleh 30 peratus kepentingan dalam projek ini.
Dalam usaha meningkatkan penglibatan awam, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024, yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk pelajar, penyelidik muda, graduan, usahawan dan komuniti pesisir. Selain itu, Program Sabah Blue Economy SkillFest 2025 diadakan pada 19–20 Jun bagi membangunkan kemahiran, inovasi dan pendedahan industri kepada golongan muda dan graduan Sabah.
Kerajaan Negeri turut menganjurkan forum interaktif termasuk ASEAN Blue Economy Forum 2025 Exhibition, Program Consilium: Governans, Marine Spatial Planning (MSP) dan Ocean Accounting, serta Program Synédrio SMJ: Penerokaan Khazanah Baharu Konsep Ekonomi Biru.
Hajiji berkata, pendekatan ini memastikan wacana Ekonomi Biru difahami secara menyeluruh dan inklusif, dengan penglibatan anak muda, graduan universiti dan masyarakat setempat sebagai pemacu utama kelestarian dan kemakmuran negeri.
Mengenai integriti pentadbiran, Ketua Menteri menegaskan, Kerajaan Negeri tidak berkompromi dan mengamalkan zero tolerance terhadap rasuah, pelanggaran integriti dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diarahkan menyediakan laporan prestasi setiap tiga bulan, penempatan pegawai kanan SPRM sebagai Penasihat Integriti, penubuhan Unit Integriti dan Governans Negeri Sabah (IGU) serta pelaksanaan program pengukuhan integriti sepanjang 2026.
Mengenai dakwaan salah laku dalam sebuah GLC, Hajiji menegaskan bahawa semua kes masih dalam siasatan. “Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan keputusan yang boleh menjejaskan keyakinan awam atau integriti institusi. Sebarang kenyataan yang mendahului siasatan rasmi boleh menjejaskan hak kepada proses yang adil,” katanya.
Berkenaan isu tanah yang turut dibangkitkan, Hajiji menjelaskan, sejak 2020 sehingga 30 November 2025, sebanyak 2,649 lot tanah NT seluas 11,121.25 hektar telah diserahkan kepada pemilik di 19 kampung di Sook. Jabatan Tanah dan Ukur sedang giat mengukur lot-lot lain di Kampung Sendukut Baru dan Kampung Sinaron, dijangka siap 2026.
Beliau turut menjelaskan pengurusan Skim Pekebun Kecil Bagahak, pemindahan lot-lot FELDA serta isu tanah di kampung Garinono dan Kitagas.
Dalam sektor perhutanan dan infrastruktur, isu jalan utama dan bekas laluan balak di Nabawan dan Pensiangan telah dikenal pasti untuk dinaik taraf dengan kebenaran khas di bawah Enakmen Hutan 1968.
“Kerajaan Negeri komited memastikan keperluan asas penduduk pedalaman diberi perhatian demi keselamatan dan kesejahteraan,” kata Hajiji.
Mengenai isu kemiskinan, Ketua Menteri menjelaskan bahawa miskin tegar diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan 2022, iaitu isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM1,218.00.
Bermula 2026, Program Kemiskinan Tegar menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan 2024 dengan nilai RM1,257.00 sebulan.
Selain itu, Program SYUKUR 2025 memberikan bantuan RM300 sebulan kepada golongan miskin dan miskin tegar secara berfasa, dengan 100,000 penerima dikenal pasti setakat ini.




























