Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan pendiriannya untuk terus menuntut hak Pemberian Khas 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, isu Pemberian Khas 40 peratus telah dibangkitkan oleh 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus mencerminkan komitmen bersama mempertahankan hak perlembagaan Sabah.
Menjelaskan pendirian Kerajaan Negeri, beliau berkata, Sabah menyokong sepenuhnya kedudukan Sabah Law Society (SLS) berhubung tuntutan ‘lost years’ dan menegaskan formula 40 peratus kekal terpakai dalam pengiraan Pemberian Khas.
Menurutnya, Kerajaan Sabah juga mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan negeri itu terhadap Pemberian Khas 40 peratus.
Masidi berkata, sejak awal lagi pendirian Kerajaan Sabah adalah konsisten agar Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.
“Kerajaan Sabah berharap Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan yang telah difailkan dan menghormati keputusan Mahkamah,” katanya ketika menggulung untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Mengulas keperluan rundingan susulan keputusan Mahkamah Tinggi, Masidi menjelaskan bahawa walaupun hak Sabah telah disahkan, mahkamah tidak menetapkan jumlah muktamad atau mekanisme pembayaran Pemberian Khas tersebut.
Katanya, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah mandamus supaya kajian semula dilaksanakan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 90 hari dan persetujuan dicapai dalam tempoh 180 hari.
Beliau berkata, antara faktor yang perlu dipertimbangkan dalam kajian semula itu termasuk kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dan keperluan Sabah bagi menampung kos perkhidmatan serta pembesaran perkhidmatan negeri.
Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah ditubuhkan dan mula bermesyuarat pada 17 November 2025.
Masidi berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, dengan fungsi utama berkongsi data bagi menentukan nilai Pemberian Khas berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan.
Menyentuh cadangan penglibatan pakar dalam pasukan rundingan, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sabah boleh menjemput mana-mana wakil berkaitan dan akan terus mempertimbangkan semua kepakaran yang diperlukan.
Katanya, sebarang keputusan di peringkat pegawai akan diangkat ke Jemaah Menteri kedua-dua kerajaan untuk mencapai persetujuan bersama.
Berhubung Anggaran Hasil 2026, Masidi menjelaskan bahawa kod hasil Pemberian Khas 40 peratus telah wujud di bawah kod objek 82102, namun jumlah dan kaedah pembayaran masih belum dipersetujui.
Menurutnya, pengiktirafan awal tanpa ketetapan jelas boleh menjejaskan perancangan perbelanjaan, keutamaan program serta disiplin fiskal Kerajaan Sabah.
Oleh itu, beliau berkata, hanya RM600 juta dianggarkan bagi tahun 2026 selaras dengan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2025.
Mengenai Cukai Jualan Negeri, Masidi menegaskan objektif utama kerajaan adalah memastikan dasar percukaian tidak membebankan rakyat, sambil merangsang pertumbuhan industri dan pembangunan rantaian hiliran.
Katanya, semakan dasar Cukai Jualan Negeri sedang dilaksanakan secara teliti melalui jawatankuasa teknikal dan sesi libat urus bersama pembayar cukai.
Mengulas pengurusan hasil negeri, beliau berkata, Unit Cukai Jualan Negeri telah dinaik taraf kepada Bahagian Cukai Jualan Negeri sejak Februari 2023 bagi memperkukuh tadbir urus dan penguatkuasaan hasil.
Masidi turut menjelaskan bahawa Kerajaan Sabah akan terus menilai struktur sedia ada dengan perancangan menaik taraf bahagian itu kepada sebuah jabatan penuh bagi mengekang ketirisan hasil secara lebih berkesan.
Menyentuh peranan SMJ Energy Sdn. Bhd., beliau memaklumkan jumlah nilai aset syarikat itu dianggarkan sebanyak RM4.9 bilion merangkumi pegangan strategik dalam PSC Samarang, entiti berkaitan PETRONAS serta pemilikan Sabah International Petroleum.
Beliau turut memaklumkan pemeteraian perjanjian muktamad bagi pemerolehan 25 peratus pegangan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3, selain penglibatan dalam projek North Sabah Enhanced Oil Recovery dan blok eksplorasi SB505.
Masidi berkata, secara keseluruhan Kerajaan Sabah telah menerima dividen kumulatif sebanyak RM160 juta daripada SMJ Energy sejak penubuhannya, mencerminkan pulangan mampan daripada pelaburan strategik negeri.
Mengulas belanjawan negeri, beliau berkata, Kerajaan Sabah akan terus berusaha mengimbangi Perbelanjaan Pembangunan dan Perbelanjaan Perbekalan bagi memberi impak pembangunan yang inklusif, di samping mengekalkan disiplin fiskal dan rizab kewangan.
Masidi menyeru semua pihak agar terus bekerjasama membangunkan Sabah secara bijaksana, sambil menzahirkan harapan agar negeri ini kekal aman, makmur dan sejahtera demi kesejahteraan rakyat.
DUN Sabah meluluskan Belanjawan Sabah 2026 sebelum persidangan ditangguhkan.


























