Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyambut baik peruntukan Bajet 2026 berjumlah RM1.656 bilion kepada kementeriannya.
Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menangani isu berkaitan kemudahan asas termasuk jalan raya, cerun, jambatan, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.
Dalam masa sama, katanya, siling Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi KKRU berjumlah RM4.80 bilion, bersamaan 39.92 peratus daripada siling keseluruhan RMK13, bagi melaksanakan 318 projek pembangunan merangkumi 106 projek sambungan dan 212 projek baharu.
“Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM600.69 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya Sabah dalam Bajet 2026 untuk menampung perbelanjaan pelbagai program,” katanya.
Selaras usaha meningkatkan perkhidmatan bekalan air, Dr Joachim berkata, Jabatan Air Sabah diperuntukkan RM848 juta bagi meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem bekalan air.
Beliau menambah, KKRU juga komited menyediakan perkhidmatan pembetungan yang lebih efisien, efektif dan menyeluruh dengan mengoptimumkan peruntukan RM203.91 juta yang disediakan.
Dr Joachim yang juga ADUN Kundasang berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau turut menjawab beberapa pertanyaan dan cadangan yang dibangkitkan semasa perbahasan Bajet 2026.
Antara isu dibangkitkan termasuk kualiti tampalan lubang jalan raya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, penyenggaraan dan pembaikan jalan, peruntukan Malaysian Road Records Information System (MARRIS), pembinaan jalan baharu, masalah lampu jalan serta penyiapan dan naik taraf jambatan.
Beliau turut memberi respons terhadap isu bekalan air bersih, sumber air mentah alternatif, projek pembangunan melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan, Program Biayaan Kerajaan Negeri Sabah di bawah RMK13 serta Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).
Selain itu, isu berkaitan setinggan dan non-revenue water (NRW), kerja pemulihan, operasi dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA), serta pembetungan dan kumbahan turut dijawab.
Dr. Joachim juga memberi pencerahan mengenai isu bekalan elektrik, Sabah Energy Road Map and Master Plan 2040, projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu, hala tuju pembangunan tenaga Sabah, skim Feed-in Tariff (FiT) atau Net Energy Metering (NEM), serta pembangunan tenaga boleh baharu.
“Kementerian saya mengambil perhatian dan akan menjawab beberapa isu yang dibangkitkan secara bertulis kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya.




























