KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri N.58 Lamag berikutan kematian penyandang kedua-duanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul pada 8 Disember, serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya pada 9 Disember 2025.
Beliau berkata, selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia disahkan SPR.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 (Selasa). Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK N.58 Lamag,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan akan meneliti penetapan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang digunakan serta semua persiapan lain yang diperlukan untuk melaksanakan proses PRK.
SPR turut memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut berakhir.





























