TAMBUNAN: Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan program lawatan ke Daerah Tambunan pada 6 hingga 7 Disember 2025, meneroka lebih dekat keindahan kawasan yang terkenal sebagai “The Switzerland of the East” kerana persekitaran semula jadinya yang menawan.
‘Mansau-Ansau’ dalam bahasa Kadazan Dusun membawa maksud melancong atau bersiar-siar. Edisi ketiga program ini disertai dua wakil agensi pelancongan dan dua media tempatan, bertujuan memperkukuh promosi pelancongan domestik khususnya di kawasan pedalaman Sabah.
Program kali ini menumpukan pengalaman pelancongan desa di Sunsuron Homestay yang menawarkan jamuan tradisi Kadazan Dusun. Peserta turut berpeluang menginap bersama komuniti Dusun dan melawat tapak budaya unik seperti ‘Rumah Tengkorak’. Lawatan diteruskan ke Air Terjun Mahua di Hutan Simpan Crocker Range, Rafflesia Information Centre dan Sinurambi Viewing Point yang menampilkan menara wakid setinggi 14 meter.
Aktiviti lasak di Kawang-Kawang Canyon pula menyerlahkan potensi besar penglibatan komuniti Kampung Tiong dalam pelancongan berasaskan alam di pedalaman Sabah.

“Kita membawa wakil agensi pelancongan dan media tempatan untuk mengalami experimental tourism serta mendekati adat dan budaya tempatan, terutamanya di Sabah yang terkenal dengan Community-Based Tourism (CBT),” jelas Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar.
Beliau menegaskan bahawa program seperti ini juga merupakan strategi Tourism Malaysia untuk menembusi dunia digital, memandangkan penggiat media memainkan peranan penting memperkenalkan produk pelancongan melalui konsep penceritaan perjalanan (travel and storytelling) yang berimpak tinggi.
Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan 47 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Program Mansau-Ansau Borneo Trail ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan mempromosikan destinasi domestik menjelang VM2026.
Tourism Malaysia yakin sasaran ini dapat dicapai melalui kerjasama erat semua pihak berkepentingan, dengan kejayaan misi nasional bergantung kepada kemampuan Malaysia mengetengahkan keunikannya serta memperkukuh promosi pelancongan luar bandar di Sabah.






























