KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick mengadakan kunjungan rasmi ke Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) sekaligus menerima taklimat menyeluruh mengenai prestasi semasa, peranan dan hala tuju pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah.
Dalam kunjungan itu, Ewon turut berkongsi fokus kementeriannya selaras peluasan portfolio baharu yang meletakkan pengangkutan di bawah tanggungjawab kementerian.
“Selain mendalami insiatif-inisiatif sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh LPPS, saya juga berkongsi wawasan dan halatuju saya di Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
“Saya amat yakin LPPS akan terus menyumbang kepada usaha-usaha mengawal selia pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah yang menjadi pembolehubah penting kepada pelaburan industri di sini.
“Saya juga berharap pasukan Sabah First di LPPS terus diperkasakan untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pemegang-pemegang taruh,” katanya selepas diberikan taklimat oleh Pengurus Besar LPPS, Dollyn Aloysius sempena kunjungan rasminya ke LPPS, di sini, hari ini.
Mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, Ewon berkata, ia sedang ditangani dengan menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di pelabuhan itu.
“Usaha menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di palabuhan Sepanggar sedang berjalan walaupun berlaku kelewatan, lanjutan masa (EOT) kali keempat telah diberikan.
“Saya berharap projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Saya ada tanggungjawab untuk memantau pelaksanan tersebut kerana sebarang kelewatan projek naik taraf di pelabuhan Sepanggar merupakan kerugian kepada Sabah,” katanya.
Beliau yakin LPPS dan kementerian dapat sama-sama mengambil tanggungjawab bersama untuk memastikan semua projek penaiktarafan pelabuhan-pelabuhan Sabah dapat dijayakan.
Ewon berkata, LPPS juga bertangungjawab terhadap jeti-jeti persendirian, termasuk yang dikendalikan oleh kilang-kilang besar dan meminta supaya penguatkuasaan atau pemantauan dapat dilaksanakan bagi memastikan Sabah dapat mempertahankan haknya terutama berkaitan pungutan hasil.
“Kita di kementerian akan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain khususnya berkaitan laluan diantara Taman Perindustrian ke pelabuhan-pelabuhan dan begitu juga kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan berkaitan keperluan pembangunan perindustrian di Sabah,” katanya.
Katanya lagi, setakat Januari hingga Oktober 2025, LPPS melalui pelabuhan seluruh Sabah (Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan) telah mengendalikan sebanyak 445,054 TEU (Twenty-foot Equivalent Unit) kontena.
Turut serta dalam kunjungan itu Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin, pegawai-pegawai kementerian dan LPPS.






























