Ir. Ts. Joeynodd Aiiko Ronald C. Bansin
MOYOG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Ir. Ts. Joeynodd Aiiko Ronald C. Bansin menyeru para pengundi khususnya golongan muda agar memberi peluang kepimpinan baharu untuk membawa perubahan lebih besar di kawasan itu.
Joeynodd yang merupakan Ketua Belia/Beliawanis Parti Bersatu Sabah (PBS) N.26 Moyog sejak 2023 berkata, fokus utamanya adalah memperjuangkan kesejahteraan rakyat serta memajukan Moyog secara menyeluruh.
“Saya berharap dalam PRN kali ini, anak muda diberi kesempatan dan peluang untuk bekerja, khususnya kepada N.26 Moyog. Saya memperjuangkan kesejahteraan rakyat, memajukan Moyog dari segi industri, infrastruktur, sosial ekonomi, dan juga memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.
“Jadi saya mohon kepada semua untuk membantu saya, bersama-sama untuk menangkan GRS pada PRN kali ini,” katanya ketika ditemui semasa siri jelajah kempen di kawasan Penampang hari ini.
Joeynodd, anak jati Kampung Penampang Proper yang lahir pada 5 Januari 1989, hadir dengan latar belakang profesional yang kukuh dalam bidang kejuruteraan. Beliau merupakan Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) serta Teknologis Profesional di bawah Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Selain itu, beliau turut memegang pelbagai pengiktirafan termasuk Ahli Institut Bahan Malaysia (MIMM), Ahli Institut Kejuruteraan Malaysia (MIEM) serta Certified Thermographer Level 1.
Dari segi pendidikan, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Kota Kinabalu. Terbaharu pada tahun 2023, beliau menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Berpengalaman sebagai Project Engineer dan kini Project Manager di sebuah syarikat swasta, Joeynodd yakin pengalaman teknikal dan pengurusan yang dimilikinya mampu diterjemahkan kepada perancangan pembangunan yang teratur serta berimpak tinggi di Moyog.
Beliau menegaskan bahawa tenaga muda di kawasan itu wajar diberi ruang lebih luas untuk terlibat dalam pembangunan, khususnya melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran.
“Kita mahu Moyog bergerak ke hadapan bersama generasi muda yang berdaya saing. Itu komitmen saya,” katanya.
Dengan mesej kempen “Membangun Moyog Bersama”, beliau berharap sokongan padu pengundi dapat memastikan agenda pembangunan GRS di kawasan itu direalisasikan.






























