KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan dakwaan bahawa calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 perlu membuat semakan cukai pendapatan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai syarat tambahan kelayakan.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi media sosialnya hari ini, SPR menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah palsu dan tidak benar seperti yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp.
“SPR menafikan menetapkan syarat tambahan baharu untuk mewajibkan calon membuat semakan cukai pendapatan di LHDN sebagai syarat tambahan kedua kelayakan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17 seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.
“Maklumat tersebut adalah palsu. Harap maklum,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) SPR hari ini.
SPR turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi SPR bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan urusan pilihan raya.


































