KOTA KINABALU: Sukan Hapkido Sabah yang diketuai oleh Pengasas Hapkido Negeri, Master Bernardo Vivero bersama pembantunya, Emran Azmie Rosle kini giat membangunkan serta memperkukuh sukan itu di Sabah sebagai persediaan menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Antara kejohanan yang telah disertai ialah Kejohanan Hapkido Asia Tenggara Kali Ke-2 di Yogyakarta, Indonesia, pada Jun lalu, melibatkan empat atlet dari Sabah sebagai persiapan awal menuju pentas yang lebih besar.
Pasukan Sabah mencatat kejayaan membanggakan apabila membawa pulang satu pingat emas dan dua gangsa, di samping seorang atletnya dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik kejohanan tersebut.
Menurut Bernardo, sejak penubuhan Hapkido Sabah hampir setahun lalu, beliau aktif mengadakan ceramah dan seminar di seluruh negeri bagi memperkenalkan seni bela diri ini kepada masyarakat, khususnya golongan belia.
“Antara cabaran utama ialah ramai masyarakat masih belum mengenali Hapkido berbanding seni bela diri lain. Sokongan logistik dan pengiktirafan awal juga sukar diperoleh kerana Hapkido masih baharu bertapak di Malaysia, terutamanya di Sabah. Meyakinkan pihak sekolah, institusi dan jabatan kerajaan memerlukan masa dan usaha berterusan,” katanya.
Beliau menjelaskan, matlamat utama adalah untuk menjadikan Hapkido dikenali ramai dan seterusnya diiktiraf sebagai salah satu sukan rasmi dalam temasya SAGA dan SUKMA pada masa akan datang.
Tambahnya, Hapkido bukan sekadar cabang seni bela diri, tetapi turut mengandungi falsafah hidup yang menekankan disiplin diri, rasa hormat serta keharmonian antara manusia.
Dalam seminar Hapkido peringkat negeri yang diadakan baru-baru ini di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Bernardo turut berkongsi sejarah dan penubuhan Hapkido di Sabah, selain memperkenalkan teknik asas seperti kuncian, bantingan dan penggunaan senjata tradisional.
Seminar itu juga bertujuan memperkukuh jaringan antara kelab-kelab Hapkido supaya berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS), sebagai langkah awal ke arah pembentukan badan induk rasmi Hapkido Negeri Sabah.
Penyertaan dalam seminar berkenaan melibatkan pelbagai jurulatih dan pengamal seni bela diri seperti Taekwondo, Silat, Tinju, Muay Thai, serta pegawai penguat kuasa dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Matlamat lahirnya Hapkido di Sabah bukanlah untuk bersaing, tetapi untuk berkongsi, melengkapi dan membina jaringan persahabatan sesama pengamal seni bela diri di negeri ini,” jelasnya.
Hapkido Sabah juga berbangga menerima sokongan padu daripada Hapkido Indonesia — antara negara paling maju dalam pembangunan sukan itu di rantau ini — di bawah pimpinan Grand Master Vincentius Yoyok Suryadi serta Persatuan Hapkido Dunia Korea.
Kerjasama erat ini, katanya, diharap dapat memperkukuh perjalanan dan pembangunan Hapkido di Sabah.
“Harapan saya selepas seminar ini, lebih ramai akan memahami bahawa Hapkido bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi wadah membina masyarakat berdisiplin, sihat dan berkeyakinan,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau berminat menganjurkan seminar Hapkido, boleh menghubungi Bernardo di talian 010-453 9970.




























