KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan bahawa Taman Botani Tun Fuad Stephens di Bukit Padang akan dibuka semula kepada orang awam bermula Isnin, 27 Oktober 2025, selepas menjalani proses penilaian menyeluruh terhadap status kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut.
Menurut DBKK, keputusan itu dibuat susulan kejayaan Program Brisk Walk Pra Pembukaan yang diadakan baru-baru ini untuk meninjau tahap keselamatan dan kesesuaian laluan joging sedia ada. Hasil tinjauan mendapati kerja-kerja di kawasan berkenaan kini hanya tertumpu kepada aspek kekemasan dan pelengkap, tanpa melibatkan aktiviti pembinaan berat.
Sehubungan itu, laluan joging utama dibuka semula kepada orang awam tertakluk kepada pematuhan peraturan keselamatan dan garis panduan DBKK. Laluan mendaki (hiking trail) juga dibuka semula kecuali Trek Hiking No. 2 yang kekal ditutup kerana melalui kawasan Pusat Botani yang masih dalam fasa pembinaan aktif.
Waktu operasi taman ditetapkan dari jam 6 pagi hingga 7 malam setiap hari, mengambil kira masih terdapat aktiviti pembinaan di beberapa kawasan lain dalam taman tersebut.

Bagaimanapun, DBKK memaklumkan beberapa kawasan kekal ditutup sepenuhnya kepada pengunjung atas faktor keselamatan kerana masih dalam proses pembinaan. Kawasan yang terlibat ialah Pusat Botani (Botanical Centre), Commercial Plaza, Boardwalk dan Lake Walk, Conservatory Park dan Bamboo Corner, serta Herb Garden.
DBKK turut menegaskan bahawa sebarang pencerobohan ke kawasan larangan adalah dilarang sama sekali dan pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan akibat pelanggaran larangan tersebut.
Dalam tempoh ini juga, DBKK sedang melaksanakan kerja-kerja penyediaan dan pemasangan papan tanda makluman, papan larangan serta petunjuk arah bagi memastikan keselamatan dan kemudahan pengunjung terjamin.
Sementara itu, kontraktor yang bertanggungjawab terhadap Projek Pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens telah dikenakan Liquidated Ascertained Damages (LAD) sebanyak RM2,704.61 sehari bermula 15 Julai 2025 sehingga semua kerja pembinaan disiapkan sepenuhnya mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan.

DBKK berharap agar orang awam dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan keselamatan serta menjaga kebersihan taman bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan bersama terus terpelihara.
























