Saadiah ketika ditemui media.
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan kelancaran operasi tenaga elektrik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah Ke-17.
Pengerusi SE, Saadiah Aziz berkata pihaknya telah membuat persiapan rapi sejak beberapa bulan lalu termasuk penyediaan set penjana mudah alih (genset) di semua lokasi penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan.
“Kita mempunyai genset tertentu untuk setiap bahagian bagi memastikan bekalan elektrik mencukupi sepanjang tempoh kempen dan proses pilihan raya berlangsung.
“Genset disediakan setiap kawasan utama termasuk pusat penamaan calon, lokasi pengundian awal, hari mengundi dan pusat penjumlahan,” katanya ketika ditemui media semasa Sabah Electricity Vendor Day 2025 dan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta SE, pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar memaklumkan selain menyediakan genset di 25 lokasi penamaan calon dan pusat penjumlahan undi, SE juga berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemeriksaan awal sistem pendawaian di dewan yang akan digunakan.
“Di samping itu, kita juga akan menyediakan lampu kecemasan sebagai langkah sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan.
“Hampir 800 anggota kerja SE akan terlibat sepanjang PRU DUN Sabah Ke-17 dan kali ini anggota SE diberi kemudahan mengundi awal bagi membolehkan mereka fokus sepenuhnya kepada tugas semasa hari pengundian.
“Kita yakin selepas beberapa kali mengendalikan pilihan raya umum dan negeri, kali ini kita (SE) lebih bersedia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) di Lahad Datu mula beroperasi sejak 12 Jun lalu dan akan dilancarkan secara rasmi pada Disember ini./
































