Sh Sitti Saleha Habib Yussof
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menegaskan tindakan pegawainya menolak kemasukan individu bernama Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei ke negeri ini kelmarin adalah berasaskan prosedur dan undang-undang yang sah.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil siasatan dalaman mendapati individu terbabit disenarai dalam rekod Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih aktif di bawah arahan pihak berkuasa negeri.
Katanya, semasa pemeriksaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 23 Oktober, Albert Tei memaklumkan kepada pegawai bertugas bahawa tujuan kedatangannya ke Sabah adalah untuk bertemu rakan, namun gagal mengemukakan sebarang bukti atau dokumen yang menyokong tujuan kemasukan.
“Berdasarkan syarat NAS yang ditetapkan, individu tersebut hanya dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah. Namun, beliau tidak mengemukakan sebarang dokumen atau surat panggilan mahkamah ketika pemeriksaan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, katanya, pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) kerana individu berkenaan tidak mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat seperti diperuntukkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Sitti Saleha, semakan rekod juga mendapati Albert Tei pernah dibenarkan masuk ke Sabah pada September lalu selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah kepada pegawai pemeriksa.
“Ini membuktikan beliau sedia maklum mengenai prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi berhubung status NAS yang dikenakan ke atas dirinya,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan peguam Albert Tei di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini yang mendakwa anak guamnya dihalang daripada menghadiri prosiding mahkamah, sambil menegaskan kenyataan itu tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Tindakan pegawai pada hari kejadian dibuat sepenuhnya berasaskan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Beliau menambah, JIM sentiasa memastikan setiap keputusan dibuat berpandukan undang-undang, dokumen berkaitan serta maklumat yang dikemukakan semasa pemeriksaan di pintu masuk negara.
Sitti Saleha turut menasihatkan semua individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi syarat kemasukan dan menyediakan dokumen sokongan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Jabatan akan terus komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara, di samping menegakkan prinsip profesionalisme, integriti dan pematuhan undang-undang dalam setiap urusan perkhidmatan,” katanya.
























