Pemain dan para jurulatih pasukan lelaki Sepak Takraw Papar merakamkan gambar kemenangan selepas dinobatkan sebagai juara kategori double
TAWAU : Atlet Papar terus membuktikan kehebatan dalam arena sepak takraw apabila berjaya mengungguli kedua-dua kategori double lelaki dan wanita pada Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Vision School Tawau pada petang Selasa, menyaksikan saingan sengit antara pasukan terbaik dari seluruh daerah.
Dalam acara double wanita, Papar menewaskan Beluran dengan keputusan 15–11, 15–13 sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada daerah berkenaan, perak dimenangi Beluran manakala gangsa dikongsi Kalabakan dan Nabawan.
Sementara itu, dalam acara double lelaki, Papar terus gah apabila menundukkan Kuala Penyu dalam pertarungan tiga set 15–10, 13–15, 15–10, sekaligus merangkul emas kedua dalam acara tersebut. Pingat perak dimenangi Kuala Penyu manakala Semporna dan Beluran masing-masing membawa pulang gangsa.
Kemenangan berganda itu menobatkan Papar sebagai kuasa dominan dalam acara sepak takraw SAGA XI setakat ini.
Majlis penyampaian pingat disempurnakan oleh Pengarah Pertandingan Sepak Takraw SAGA 2025 merangkap Presiden ASTAKA Negeri Sabah, Datuk Roslie Ibrahim.






























