KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menahan seorang wanita warga China selepas disyaki menggunakan dokumen perjalanan palsu dalam cubaan untuk berlepas ke luar negara semalam.
Menurut Utusan Malaysia, AKPS dalam kenyataan berkata, suspek berusia 28 tahun ditahan pada 6.30 petang di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 apabila pegawai bertugas mendapati sesuatu yang mencurigakan semasa pemeriksaan dokumen.
“Wanita berkenaan dijadualkan menaiki penerbangan AirAsia AK103 (Kuala Lumpur-Kunming) yang sepatutnya berlepas pada 9.30 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita tersebut telah mengemukakan dokumen Electronic Pass (E-Pass) bertarikh 22 Julai lalu yang sah sehingga 20 Julai 2026 namun ia didapati tidak wujud dalam sistem.
“Ia disyaki palsu serta diperoleh secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan daripada itu, menurutnya, wanita berkenaan telah ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Suspek kini ditahan di Depot Imigresen KLIA2 untuk diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan KLIA bagi siasatan dan tindakan lanjut.
“AKPS sentiasa komited memastikan kawalan di pintu masuk negara berada pada tahap tertinggi serta tidak berkompromi terhadap sebarang cubaan penyalahgunaan dokumen perjalanan atau pelanggaran undang-undang Imigresen,” katanya.
Menurutnya, kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti
mencurigakan di pintu masuk negara amat dihargai bagi memperkukuh keselamatan dan kedaulatan sempadan Malaysia,” katanya.