Hajiji menyerahkan replica kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Lot Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Taka, Pitas di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas hari ini.
PITAS: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus untuk golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga mulai tahun depan.
Beliau berkata, dengan tambahan itu, sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN berbanding 40 unit pada tahun ini.
“Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tetapi tahun ini kita bina 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita tambah menjadi 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang memerlukan.
“Tambahan 10 unit itu dikhaskan untuk anak muda yang susah dan baru berkahwin kerana kita faham ramai yang masih tinggal bersama keluarga,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Kampung Taka, di sini, hari ini.

Hajiji menyerahkan geran tanah kepada wakil penduduk kampung pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Lot Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Taka, Pitas di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas hari ini.
Hajiji berkata, projek perumahan dan kedai LPPB di Kampung Taka dijangka memberi impak besar kepada masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan serta ruang keusahawanan baharu, selain memberi manfaat kepada seluruh lapisan penduduk.
“Paling penting, projek ini memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri, sekali gus membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan keprihatinan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut melibatkan pembinaan 320 unit rumah, terdiri daripada rumah berkembar setingkat dan rumah teres setingkat, di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB. Ia turut merangkumi 171 unit kedai yang terdiri daripada unit dua tingkat, superstore, showroom dan kiosk.
“Saya berharap projek usahasama Kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual, serta menepati perjanjian yang telah dimeterai bagi memenuhi keperluan masyarakat.
“Pendekatan kerjasama awam-swasta ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan Kerajaan, malah membolehkan sumber kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji menegaskan, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan pembangunan di mana-mana daerah, termasuk Pitas, yang sejak lima tahun lalu telah menerima pelbagai projek pembangunan untuk memperkasakan kemajuan tempatan.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan pembinaan mini kompleks sukan Pitas, terminal bas awam bernilai RM1 juta, serta rumah budaya di Dataran Pitas dengan kos RM1.4 juta.
Selain itu, Ketua Menteri memberi jaminan bahawa projek ternakan udang yang terhenti sebelum ini — hasil kerjasama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat — akan diusahakan semula bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi rakyat Pitas.
Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri akan membincangkan dengan SAFODA berhubung sebidang tanah yang dimohon rakyat untuk dikeluarkan daripada kawasan agensi tersebut di daerah itu.
Pada majlis sama, Hajiji menyerahkan 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar kepada para penerima, termasuk 228 geran di bawah Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) seluas 863.735 hektar, 239 geran permohonan tanah (NT) seluas 406.11 hektar, serta satu geran tapak Balai Polis Pitas berkeluasan 3.587 hektar.