Henry Hamdan
SANDAKAN: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sungai Sibuga merangkap Exco Pemuda Pusat, Henry Hamdan menegaskan bahawa perjuangan politik dari akar umbi hingga ke peringkat nasional mesti diperkasa dengan satu matlamat — demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan media Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, yang menghormati keputusan Presiden Parti STAR dan SAPP untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut Henry, sikap hormat yang ditunjukkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, mencerminkan budaya politik matang. Namun katanya, pemerkasaan politik lokal melalui Gagasan Rakyat tetap menjadi keutamaan bagi memastikan suara rakyat Sabah terus diangkat.
“Kita memperhebat perjuangan dari kampung ke daerah, dari negeri ke pusat. Tiada lain, hanya untuk rakyat. GRS akan terus mengangkat suara anak negeri agar Sabah ditadbir dengan stabil, aman dan makmur,” tegasnya.
Henry turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat dalam GRS kekal berpegang kepada prinsip penyatuan dan kekuatan kolektif meskipun berdepan pelbagai cabaran politik mendatang.
“Yang penting, fokus kita bukan sekadar pada percaturan politik, tetapi kepada agenda rakyat — pembangunan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan dan kestabilan untuk generasi muda Sabah,” katanya.
Dalam masa sama, Henry menjelaskan bahawa kerjasama dengan parti nasional yang membentuk kerajaan di peringkat pusat adalah strategi penting untuk Sabah, bukan sahaja bagi menjamin kestabilan politik, tetapi juga bagi memperluas peluang pembangunan negeri.
“Sabah tidak boleh bergerak sendirian. Kita mesti bersama dengan kerajaan pusat supaya setiap perancangan dan agenda pembangunan negeri mendapat dukungan serta manfaat daripada dasar nasional. Hanya dengan gabungan ini rakyat Sabah tidak akan ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” ujarnya.
Henry turut menyeru golongan muda agar melihat politik bukan sekadar medan pertembungan, tetapi wadah memperjuangkan masa depan negeri melalui gabungan kekuatan lokal dan nasional demi kepentingan rakyat.