Dua lelaki rentung selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang pagi tadi.-Gambar/JBPM Pulau Pinang
GEORGE TOWN : Polis masih menyiasat identiti dua lelaki yang rentung selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Butterworth, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail kepada pemberita.
“Kita tunggu keputusan ‘post-mortem’ (bedah siasat). (Mayat) dah dihantar ke hospital. (Pemilik) kenderaan juga belum kenal pasti, (kenderaan) masih di lokasi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Festival Seni Hidup 2025 di Lebuh Armenian di sini, petang ini.
Menurut bomba, dalam kejadian kira-kira pukul 7.09 pagi itu, salah seorang daripada mangsa dijumpai berada di luar kereta yang terbakar manakala seorang lagi mangsa pula berada dalam kereta terbabit ketika kejadian.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala kereta jenis Proton Saga BLM yang mereka naiki pula terbakar sehingga 80 peratus.
Mengulas lanjut, Azizee berkata, polis juga masih belum dapat mengesahkan identiti kedua-dua mangsa sama ada warga tempatan atau sebaliknya.
“Tunggu ‘post-mortem’,” katanya ringkas.