Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kesemua 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF), kelmarin, dijangka dibawa keluar dari negara haram itu oleh Kerajaan Turkiye bersama warganya ke Istanbul dalam masa satu atau dua hari lagi.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak semalam, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al-Thani untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung situasi rakyat Malaysia yang ditahan.
Selain itu, katanya, Malaysia juga sudah berhubung dengan Amerika Syarikat (AS) termasuk Setiausaha Negara, Marco Rubio serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Beliau berkata, Erdogan telah menugaskan Ketua Keselamatan Turkiye, Dr. Ibrahim Kalin untuk membantu Malaysia membawa keluar 23 peserta GSF yang ditahan dengan selamat.
“Sepanjang semalam, Dr. Ibrahim Kalin telah memaklumkan bahawa hubungan kita dengan Amerika Syarikat, Qatar dan Turkiye memberi manfaat dalam usaha ini.
“Walaupun kita tiada sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel, saluran diplomasi dengan negara-negara sahabat banyak membantu.
“Anak-anak kita di sana semuanya dalam keadaan selamat walaupun ditahan secara zalim. Tugas utama saya ialah mencari jalan untuk menyelamatkan mereka, apa juga cara dan kaedah yang munasabah. Kita juga berdoa agar Allah SWT melindungi mereka,” katanya.
Anwar berkata, dalam perbualan dengan Erdogan, beliau meminta Presiden Turkiye itu untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari mana-mana lokasi sekitar Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye yang pada masa sama mengambil rakyatnya sendiri.
Katanya, dari Istanbul, Malaysia akan membawa pulang peserta GSF dan rundingan itu telah mencapai persefahaman sejak awal pagi semalam.
“Itu yang terakhir, tetapi selain daripada itu saya tidak dapat beri jaminan kerana ia melibatkan rejim Israel. Tetapi daripada maklumat disampaikan Majlis Keselamatan Turkiye ialah mereka ini akan dibawa bersama tahanan Turkiye yang lain.
“Jadi dia bawa pesawat khas dari Turkiye dan saya minta mereka bawa bersama anak-anak Malaysia ke Istanbul. Itu (proses membawa pulang rakyat Malaysia) dalam satu dua hari ini. Daripada pagi tadi, nampak beberapa persefahaman sudah dicapai,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan menggunakan segala kebijaksanaan diplomasi untuk membawa pulang semua peserta GSF yang ditahan dengan selamat.
“Kita berhubung rapat dengan semua pihak, kerana yang benar-benar boleh mempengaruhi Israel itu adalah Amerika Syarikat. Oleh itu, kita menggunakan saluran Qatar dan Turkiye untuk menyampaikan pandangan kita,” katanya.