KUALA LUMPUR: Pengusaha bot penumpang awam kini layak menerima subsidi petrol RON95 melalui BUDI95 atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi memastikan pengangkutan air yang menjadi nadi utama masyarakat di Sabah, Sarawak dan sebahagian kawasan Semenanjung tidak terbeban dengan kos bahan api.
“Melalui persetujuan kerajaan, bot-bot penumpang awam yang menggunakan petrol RON95 turut layak mendapatkan subsidi sama ada di bawah BUDI95 atau SKPS, tertakluk kepada mekanisme yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program My Gaya Month 2025 di Pavilion Bukit Jalil, disini, hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan subsidi tersebut hanya terpakai kepada bot yang berdaftar atas nama pemilik warganegara atau syarikat yang sah berdaftar.
Menurutnya, KPDN ketika ini sedang bekerjasama rapat dengan agensi Kerajaan Negeri termasuk Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk mengenal pasti pemilik bot berdaftar.
Sementara menunggu mekanisme tetap diumumkan, kerajaan turut membenarkan pengusaha bot membuat tuntutan bayaran balik tunai.
“Pengusaha wajib menyimpan dan mengemukakan resit pembelian rasmi bagi membolehkan tuntutan dibuat,” katanya.
Armizan berkata, KPDN turut mengaktifkan semula Jawatankuasa Rayuan SKDS dengan peluasan skop merangkumi pelaksanaan SKPS bagi meneliti isu-isu berbangkit.
Katanya langkah itu diambil berdasarkan pengalaman pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini yang turut memerlukan saluran rayuan untuk kes-kes khas.
“Kerajaan yakin peluasan subsidi petrol kepada bot awam akan membantu meringankan beban kos operasi dan memastikan kelangsungan perkhidmatan pengangkutan air kepada penduduk setempat,” katanya.