WASHINGTON: Presiden Donald Trump sekali lagi menyuarakan keinginannya untuk meraih Hadiah Nobel Keamanan dan menegaskan kegagalan mendapat pengiktirafan itu disifatkan sebagai ‘penghinaan’ terhadap Amerika Syarikat.
Menurut Utusan Malaysia, pemimpin Republikan itu juga mengulangi dakwaan beliau berperanan dalam menyelesaikan beberapa konflik dunia.
Trump, yang sekian lama mengidamkan anugerah itu dan dijangka diumumkan pada 10 Oktober, membuat kenyataan tersebut sehari selepas memperkenalkan pelan damai bagi menamatkan perang di Gaza.
“Adakah saya akan dapat Hadiah Nobel? Sudah tentu tidak. Mereka akan memberikannya kepada seseorang yang langsung tidak melakukan apa-apa.
“Itu akan menjadi satu penghinaan besar kepada negara kita. Saya tidak mahukannya untuk diri saya, saya mahu negara mendapatnya,” kata Trump ketika berucap di hapan ratusan pegawai tinggi tentera AS pada Selasa.
Trump sudah lama tidak berpuas hati kerana Presiden Demokrat, Barack Obama, pernah memenangi anugerah itu pada 2009.
Dalam ucapannya pada Selasa, Trump sekali lagi mendakwa kejayaannya menyelesaikan tujuh peperangan sejak kembali memegang jawatan pada Januari lalu.
Trump mendakwa, sekiranya pelan Gaza yang diumumkan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin lalu berjaya, beliau akan merekodkan lapan penamatan perang dalam tempoh lapan bulan.
Namun, peluang Trump untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel tahun ini dilihat hampir mustahil di Oslo, lokasi anugerah itu berpusat.
Jawatankuasa Nobel Norway turut menegaskan kempen Trump tidak akan mempengaruhi keputusan mereka.
“Kami sedar memang ada banyak perhatian media terhadap calon tertentu. Namun, perkara itu langsung tidak memberi kesan kepada perbincangan dalaman jawatankuasa,” kata Setiausaha Jawatankuasa, Kristian Berg Harpviken, kepada AFP baru-baru ini.




























