Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 akan dikuatkuasakan hujung tahun ini bagi mengekang penyebaran bahan-bahan yang ditakrifkan sebagai mudarat dalam talian dan menyekat pendaftaran akaun bawah umur 13.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penguatkuasaan akta berkenaan atau dikenali sebagai Online Safety Act (ONSA) akan memastikan platform-platform digital diwajibkan mengambil tindakan menyeluruh dalam menangani kandungan berisiko di internet.
“Insya-Allah menjelang hujung tahun, Akta Keselamatan Dalam Talian atau ONSA akan dikuatkuasakan. Platform nanti akan diwajibkan untuk mengambil tindakan menyeluruh mengekang bahan-bahan yang ditakrifkan sebagai mudarat dalam talian.
“Akta ini akan diusahakan oleh satu jawatankuasa keselamatan dalam talian di bawah jagaan Menteri Undang-Undang dan bukan Menteri Komunikasi
“Jawatankuasa itu akan memberi pengarahan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam kali ke 29 tahun 2025 di Auditorium Seri Angkasa hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, platform media sosial perlu memastikan ruang digital mereka lebih selamat digunakan, selain menghalang kanak-kanak berusia bawah 13 tahun daripada memiliki atau membuka akaun.
“Platform-platform telah membuat larangan umur, tetapi mereka tidak mampu menguatkuasakan had tersebut. Itu antara sebab kenapa kita juga mahukan pelaksanaan Pengenalan Pelanggan Secara Elektronik (eKYC) bagi akaun-akaun media sosial, supaya pemilikan akaun oleh kanak-kanak dapat dibendung,” katanya.