FIFA mengumumkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung termasuk dari kiri, Holgado, Irazabal, Figueiredo dan Machuca.
PETALING JAYA: Bola sepak Malaysia berdepan ‘detik hitam’ apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kerana memalsukan dokumen bagi tujuan kelayakan antarabangsa.
Menurut Utusan Malaysia, FIFA dalam kenyataannya berkata, FAM telah menyerahkan dokumen tidak sah untuk memastikan tujuh pemain warisan layak mewakili Harimau Malaya dalam aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (lebih kurang RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, masing-masing didenda CHF 2,000( RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Bukan sahaja wang denda yang menjadi beban, malah hukuman penggantungan ke atas tujuh pemain itu turut memberi kesan besar kepada perancangan pasukan kebangsaan.
Mereka sebelum ini dipuji sebagai nafas baharu buat Harimau Malaya kerana beraksi di liga kompetitif seperti La Liga, Serie B, serta liga utama Amerika Selatan dan lebih membimbangkan, kesahihan status kelayakan tujuh pemain terbabit kini dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA.
Sekiranya tribunal mendapati berlaku pelanggaran serius, Malaysia berdepan risiko kehilangan kemenangan dalam aksi menentang Vietnam, sekali gus menjejaskan kedudukan Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia.
Menurut pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, isu ini memberi kesan lebih besar daripada skandal rasuah 1994 kerana melibatkan imej Malaysia di pentas dunia.
Tambah beliau, keputusan FIFA yang menjatuhkan hukuman terlebih dahulu sebelum meminta penjelasan daripada FAM membuktikan badan induk bola sepak dunia itu mempunyai bukti kukuh.
“Kalau dahulu isu rasuah hanya berkisar liga tempatan, kali ini hukuman datang daripada FIFA sendiri. Magnitudnya jauh lebih besar kerana menjejaskan reputasi negara dan kedudukan pasukan kebangsaan.
“Kita tidak boleh menuduh ada unsur sabotaj atau iri hati. Jika FIFA sudah umumkan hukuman, bermakna siasatan dalaman mereka menemukan bukti sahih,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Bagi pemain-pemain warisan yang digantung, hukuman ini bukan sahaja menjejaskan peluang mereka bersama Harimau Malaya, malah memberi kesan besar kepada karier di kelab masing-masing.
“Kalau mereka benar-benar di pihak yang benar, mereka tidak perlu takut. Tetapi jika ada keraguan tentang status mereka, ini risiko yang sudah dijangka dan mereka sendiri kemungkinan tahu tentang itu sebelum menerima tawaran menjadi pemain warisan negara,” ujarnya.
Di pihak FAM pula, reputasi sebagai badan pengelola bola sepak negara kini tercalar teruk meskipun diberi tempoh 10 hari untuk memohon keputusan penuh bertulis dan merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.