KARNATAKA: Seorang lelaki di India mencuri perhatian ramai selepas mendakwa dia hanya minum minyak enjin sepanjang 33 tahun hidupnya tanpa pernah mengalami masalah kesihatan serius.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki yang dikenali dengan gelaran ‘Oil Kumar’ itu dikatakan tidak pernah dimasukkan ke hospital mahupun mendapatkan rawatan perubatan, lapor NDTV. Dia mendakwa mampu meminum tujuh hingga lapan liter minyak enjin setiap hari, selain beberapa cawan teh.
Kisahnya menjadi tular selepas sebuah akaun Instagram, @avalakki_pavalakki, memuat naik video yang memaparkan Kumar duduk di tepi jalan sambil tenang meneguk cecair yang didakwanya minyak enjin daripada botol air mineral.
Dalam rakaman itu, orang ramai menawarkan makanan tradisional seperti nasi dan chapati, namun beliau menolak dan tetap memilih ‘hidangan’ harian minyak enjinnya.
Video tersebut telah meraih lebih 3.9 juta tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang meluahkan rasa tidak percaya, ada juga yang menjadikannya bahan jenaka, manakala sebahagian lain mengecam kerana bimbang mesej berbahaya itu boleh mendorong orang lain meniru perbuatan sama.
Bagaimanapun, pakar perubatan menolak sama sekali kemungkinan seseorang boleh bertahan hidup hanya dengan minyak enjin.
Doktor memberi amaran bahawa minyak enjin ialah produk berasaskan petroleum yang mengandungi bahan toksik berbahaya termasuk hidrokarbon, logam berat seperti plumbum, kuprum dan besi, serta bahan kimia tambahan.
Menurut mereka, sebatian tersebut amat memudaratkan tubuh manusia dan boleh menyebabkan kesan sampingan serius dalam jangka masa pendek mahupun panjang.