Donald Trump
LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencuri perhatian apabila mendakwa pentadbirannya telah berjaya menamatkan tujuh peperangan di seluruh dunia dan menyifatkan dirinya sebagai ‘peacemaker-in-chief’.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan itu dibuat ketika sidang akhbar bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer di Chequers selepas menghadiri upacara penuh istiadat rasmi di Windsor Castle.
Trump tanpa berselindung turut menyatakan kekecewaannya terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin yang disifatkan telah ‘mengecewakan’ bukan sahaja dirinya malah juga rakyat Ukraine.
“Saya telah menamatkan tujuh perang. Jika Biden masih memerintah, mungkin sudah 50 perang tercetus,” katanya sambil menegaskan AS sepatutnya sudah lama dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut menimbulkan persoalan berhubung konflik yang dimaksudkan oleh Trump.
Antara ‘peperangan’ yang disebut termasuklah serangan Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu yang hanya berlangsung 12 hari.
Trump mendakwa beliau dimaklumkan terlebih dahulu oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai serangan itu dan mengisytiharkan gencatan senjata selepas hampir dua minggu pertempuran namun, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan negaranya memperoleh ‘kemenangan muktamad’ tanpa menyebut sebarang gencatan senjata.
Israel juga memberi isyarat bersedia melancarkan serangan baharu, sekali gus meragukan dakwaan Trump.
Konflik empat hari antara India dan Pakistan di Kashmir turut dikaitkan dengan campur tangan Trump di mana Pakistan menzahirkan penghargaan serta mengusulkan agar beliau dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan tetapi India menolak dakwaan penglibatan Washington, sebaliknya menegaskan rundingan dilakukan secara langsung antara kedua-dua negara.
Di Afrika, Trump mendakwa berjaya menamatkan persengketaan antara Rwanda dan Republik Demokratik Congo (DR Congo) selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian damai di Washington pada Jun lalu namun, pertempuran berdarah masih berlaku di timur DR Congo sehingga Julai dengan lebih 140 nyawa terkorban, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan perjanjian itu.
Trump turut menonjolkan ‘kejayaan’ di Asia Tenggara apabila mengumumkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja pada Julai lalu selepas mengancam akan mengenakan tarif berat terhadap kedua-dua negara.
Selain itu, Trump mendakwa telah menjadi perantara dalam perjanjian damai antara Armenia dan Azerbaijan mengenai isu Nagorno-Karabakh yang diumumkan di White House pada 8 Ogos lalu malah kedua-dua negara tersebut mengusulkan agar beliau dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan.
Namun, konflik antara Mesir dan Ethiopia mengenai empangan di Sungai Nil serta pertikaian Serbia dan Kosovo jelas bukan peperangan dalam erti kata sebenar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dakwaan Trump.
Secara keseluruhan, penganalisis berpendapat Trump hanya mampu mendakwa ‘menamatkan perang’ di atas kertas, sedangkan kebanyakan konflik masih berterusan.
Dengan Russia terus melancarkan serangan ke atas Ukraine, serta perang Israel-Hamas di Gaza yang masih lagi berlanjutan, pemerhati politik melihat peluang Trump untuk mengutip satu lagi ‘kejayaan’ masih jauh.